Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca blog teman. Entry kali ini teman nak kongsi laporan teman ke Air Kuning bersama kawan baik teman si Ayoi. Alkisahnya teman balik ke Bidor atas sedikit urusan yang perlu dilaksanakan. Teman sampai di Bidor pun sudah lewat sekitar jam 4 petang. Kawan teman si Ayoi juga sampai lewat di Bidor pada hari itu. Namun Rancangan telah dibuat untuk ke Air Kuning juga petang itu.
Tarikh: 16 Feb 2013 (Sabtu)
Waktu: 5.15 ptg hingga 7.15ptg.
Lokasi: Air Kuning
Kali ini masuk ke Air Kuning melalui jalan lain, masuk pekan Chui Chak ke pekan Langkap dan terus ke Chenderong Balai. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 30minit juga, dalam perjalanan hujan lebat mencurah curah. Nampak gayanya macam takda harapan sahaja untuk teman mengilat kalau dah hujan selebat lebatnye turun. Namun perjalanan tetap diteruskan juga, mana tahu nasib teman baik hujan berhenti selepas itu. Setiba di pintu masuk Air Kuning cuaca berubah kepada cerah. Hujan juga telah berhenti, cuma tiada matahari memancar. Memang nak jadi rezeki teman petang tu :)
Tanpa berlengah teman terus ke spot kegemaran teman hehe. Setiba disana sudah ada beberapa orang pengilat berada disitu. Oleh kerana trip teman yang lepas Soft plastik worm sangat laku, jadi petang itu juga teman turut menggunakan soft plastik yang sama. Tiada riak ikan bermain, cuma sekali sekala sahaja nampak anak anak ikan berlari di permukan mungkin dikejar pemangsa rakus. Itu pun jauh dari pandangan mata teman.
Hampir 20 minit memujuk menggunakan soft plastik worm, tiada mangsa yang sudi menjamah. Tiba tiba sekumpulan anak anak ikan bertempiaran lari di permukaan betul betul berhampiran dengan teman. Terus teman melontar worm tersebut ke kawasan tersebut, nyata memang ada mangsa yang mengejar anak anak ikan tersebut. Soft plastik worm yang dilempar teman bersambut, berdesup mangsa melarikan kecelah celah samai tebal. Dari gaya asakannya macam peacock Bass bersaiz besar. Namun tekaan teman meleset, rupanya toman bujang berskala 1.5 kilogram yang menjamah soft plastik worm teman.
Gambar toman dan set yang teman gunakan pada petang itu. Abu Garcia Revo Sx dan rod Sehawk Black Scorpion 8-14lb.
Gambar jarak dekat soft plastik worm Zoom shakey head warna 'Morning Dawn'. Memang laku betul worm ini dekat spot kegemaran teman. Sampai Toman pun sudi menjamahnye :)
Selepas mengambil gambar, toman tersebut teman lepaskan semula ke dalam air. Toman tersebut adalah satu satunya mangsa yang teman dapat pada petang itu. Selepas itu tiada lagi mangsa yang sudi menjamah worm teman itu. Jam pun sudah menunjukan jam 7 ptg. Tak lama lagi nak masuk waktu Maghrib jadi kami beransur pulang.
No comments:
Post a Comment