Followers

Thursday 25 August 2011

Anatomi Dan Istilah Ikan Peacock Bass

Jika posting sebelum ini teman berkongsi info tentang spesis spesis peacock bass, pada kali ini pula teman akan berkongsi info tentang anatomi dan istilah yang terdapat pada ikan peacock bass. Teman mendapat maklumat ini didalam websit lain dan teman olah semula ikut citarasa teman. Mari kita lihat apa yang ada pada ikan peacock bass.


Istilah Formal

1. Garis Menegak
Merupakan garis hitam atau gelap dan terjadi dalam bentuk tertentu dalam semua spesis chicla. Tetapi terdapat sesetengah spesis mempunya 4 garis dimana garis keempat terletak pada bahagian antara ekor dan badan (caudal peduncle).

2. Tompok Abdominal
Satu tanda gelap yang terdapat dibahagian perut yang dilindungi oleh sirip pectoral. Tompok ini terdapat pada spesimen seperti Cichla Monoculus, Cichla Ocellaris, Cichla Nigromaculata, Cichla Pleiozona dan Cichla Kelberi. Ia juga turut menampilkan beberapa tompok tompok hitam yang meliputi garis terang disekeliling tompok.

3. Bintik putih mendatar
Bintik bintik putih kecil terdapat pada semua spesis spesis peacock bass ketika diawal tumbesaran mereka kecuali pada spesis Cichla Intermedia. Bintik ini nampaklebih ketara pada spesis Cichla Temensis dan mungkin beberapa spesis lain semasa bukan tempoh kitaran pembiakan.

4. Tompok Caudal
Tompok ini bermula dengan warna gelap yang dikelilingi oleh warna keemasan pada sirip Caudal (ekor). Apabila mencapai tahap matang, tompok ini akan kelihatan menjadi lebih besar, seakan akan menjadi bentuk mata burung merak!

5. Tanda Ocellated
merupakan satu tompok yang terdapat pada sisi yang sepadan dengan garis menegak (cichla orinocencis), Bertaburan di sisi badan (cichla Melaniae) dan juga di bahagian ekor. Tompok ini turut mempunya garisan disekeliling yang bewarna keemasan.

6. Tanda Postorbital
Tanda tanda hitam yang terdapat di bahagian operculum secara mendatar bermula dari mata. Kadang kadang terdapat dalam bentuk tompok2 yang tidak teratur dan berasingan seperti yang terdapat pada spesimen Cichla Temensis.

7. Occipital bar
Merupakan jalur gelap yang terdapat di bahagian atas operculum dan menjalar ke selurh bahagian tengkuk. Terdapat pada spesimen spesimen yang besar seperti Cichla Monoculus, Cichla Pleiozona, dan Cichla Kelberi.

Diharap info yang teman kongsi bersama ini dapat memberi manfaat kepada semua rakan2 yang membaca. Jika terdapat kesalahan atau info yang tidak tepat diharap dapa diperbetulkan dan dikongsi bersama.




Wednesday 24 August 2011

Spesis Spesis Peacock Bass

Kali ini teman akan berkongsi sedikit maklumat tentang spesis spesis peacock bass yang terdapat didunia ini. Setelah mencari sedikit maklumat didalam website2 mengenai peacock bass, terdapat lebih dari 15 spesis telah ditemui oleh pengkaji2 ikan ini. Jadi mari kita lihat dan mengenal spesis2 peacock bass ini dan kita juga boleh melihat perbezaannya antara satu sama lain.

1. Cichla Temensis
Temensis merupakan spesis terbesar dalam keluarga peacock bass. Sifatnya yang rakus dan ganas menjadikan ianya tarikan utama kepada para pemancing untuk memburunya. Pemangsa kelas atasan ini dianggap oleh ramai kaki pancing sebagai ikan buruan air tawar paling berkuasa di dunia. Temensis ini terdapat 2 fasa warna dan corak yang sangat berbeza iaitu fasa 'Assu' dan fasa 'Paca'. Fasa Assu merupakan fasa pembiakkan bagi ikan temensis ini, ia akan bertukar warna daripada gelap kepada lebih cerah. Proses transformasi corak pembiakkan ini berlaku secara perlahan lahan dimana garis hitam menegak lebih menonjol dan bintik bintik putih melintang dibadan akan hilang. Bagi fasa Paca pula, warna temensis ini berwarna lebih gelap sedikit, garis hitam menegak jugak kelihatan pudar dan terdapat bintik bintik putih melintang bermula dari pipi hingga ke bahagian ekornya. Struktur badan temensis ini juga kelihatan panjang daripada saiz standard.

2. Chicla Monoculus
Bagi spesis monoculus pula, garis menegak yang terdapat di badannya tidak panjang dan tidak melepasi garis panjang melintang yang bermula dari sirip Pectoral. Dibahagian Operculum (pipi) juga tidak terdapat tanda berwarna hitam. Ia akan menjadi warna yang sangat cantik iaitu warna kemerah merahan di bahagian bawah rahang apabila bertelur dan untuk spesimen yang besar akan terdapat garis occipital (di bahagian kepala).

3. Cichla Orinocencis
Spesis ini juga dikenali dengan nama 'taua' atau rama rama. Spesis ini wujud secara semulajadi dan boleh mencapai berat sehingga 12Lb. Spesis ini mempunyai 3 bintik (ocelli) berbeza pada sisi badan. Terdapat warna yang seragam dibadan iaitu warna kuning terang keemasan dan warna hijau zaitun. Spesis ini juga tidak mempunyai tanda gelap di bahagian operculum (pipi).

4. Cichla Ocellaris
Spesis ini juga dikenali dengan nama 'butterfly' di Florida dan beratnya juga boleh mencapai sehingga 12Lbs. Cichla Ocellaris ini mempunyai garis menegak pendek dan kadang kadang mempunyai satu bintik ocellum yang berbeza di bawah sirip dorsal kedua. Spesis ini juga tidak mempunyai tanda hitam di bahagian operculum (pipi).

5. Cichla Intermedia
Ia juga dikenali dengan nama 'Royal' peacock dikalangan pemancing Amerika. Ikan ini juga boleh mencapai berat sehingga 6Lbs. Bagi corak pula, terdapat 8 garis hitam menegak di sepanjang sisi badan dan mempunyai jalur melintang dibahagian tengah badan. Mempunyai warna hijau zaitun dan keemasan di bahagian sisi badan, manakala sirip pelvic bewarna kemerahan  dan sirip dorsal pula bewarna kebiruan.

6. Cichla Jarina
Spesis ini hampir sama dengan kumpulan temensis termasuk Chicla Temensis, Cichla Pinima, Cichla Thyrorus dan Chicla vazzoleri. Spesimen yang dipelihara menunjukan tanda operculum (pipi) sama seperti Chicla Temensis. Garis hitam mendatar yang bermula dari mata (termasuk tanda operculum) sehingga ke bahagian ekor. 3 garis gelap yang diwakili oleh barisan tompok hitam dengan garisan kuning keemasan disekililing tompok tersebut.

7. Cichla Kelberi
Kelberi ini juga serupa dengan Cichla Monoculus dan Cichla Pleizona dimana terdapat 3 garis gelap menegak yang jelas disisi badan dan tidak mempunyai tanda hitam di bahagian operculum (pipi). Juga terdapat bintik kecil pada sirip pelvik yang membezakan ia dengan spesis yang lain. Spesimen yang besar mempunya garis occipital (dibahagian kepala).

8. Cichla Melaniae
Chicla Melaniae ini adalah spesis baru yang dikenalpasti leh para pengkaji sekitar tahun 2006. Spesimen ini memaparkan 3 garis menegak yang agak menonjol warnanya dan terdapat kesan garis medial diantara ketiga tiga garis utama. Juga terdapat banyak bintik bintik hitam dengan warna muda di tepi bertaburan di sisi badan. Spesis ini seakan serupa dengan Cichla Mirianae kecuali tiada bintik kecil di bahagian kepala dan tompok hitam di bahagian tengah lateral.

9) Cichla Mirianae
Spesimen ini dibezakan dengan 3 tompok hitam yang dikenali sebagai Ocellated di sepanjang sisi badan dan tompok tompok halus di sepanjang badan bermula dari operculum(pipi) sehingga bahagian ekor. Sama seperti Cichla Melaniae cuma ia tiada garis hitam menegak.

10. Cichla Nigromaculata
Spesimen ini pula mempunya 5 garis menegak yang agak rapat di bahagian sisi badan dimana 3 garis lebih gelap dan 2 garis cerah diantara 3 garis gelap tersebut. Selain itu ia tidak mempunyai tanda htam di bahagian operculum (pipi). Keseluruhan badan bewarna gelap, lapisan hijau/keemasan dibawah dorsal hitam. Sirip bahagian atas bewarna gelap manakal sirip di bahagian bawah agak kebiruan.

11. Cichla Pinima
Mempunyai 3 garis tegak gelap yang menonjol atau tompok hitam bagi spesimen dewasa. Juga terdapat tanda tanda hitam di bahagian operculum (pipi). Jika saiz juvenil, ia mempunyai 4 atau lebih garis garis halus.

12. Cichla Piquiti
Spesimen ini agak unik daripada spesimen2 yang lain. Ia mempunyai 5 garis gelap menegak yang besar di bahagian badan apabila dewasa. Warna badan juga berbeza beza dari kelabu pucat kepada warna kekuningan.

13. Cichla Pleiozona
Spesimen ini lebih unggul daripada spesimen  Cichla Monoculus dan Cichla Kelberi dari segi skala. Mempunyai garis keempat yang agak tipikal di bahagian caudal peduncle (bahagian antara badan dan ekor). Ia juga tidak mempunyai bintik halus di bahagian sirip bawah. Mempunyai warna badan hijau zaitun, emas kekuningan dan bahagian perut bewarna putih.

14. Cichla Thyrorus
Tiada maklumat dan gambar mengenai spesimen ini.

15. Cichla Vazzoleri
Tiada maklumat dan gambar mengenai spesimen ini.

16. Rio Travesso Peacock Bass

Untuk spesimen dewasa terdapat tompok ocellated besar menggantikan garis tegak. Juga terdapat tompk hitam pada operculum (pipi). Warna kekuningan terlalu menonjol dengan sirip dorsal kebiruan dan sirip pelvik serta sirip dubur bewarna kekuningan.

17. Rio Paru Peacock Bass
Spesimen dewasa mempunyai 3 tompok hitam, 3 garis hitam menegak yang tidak panjang. Jika spesimen ini saiz juvana, terdapat titik2 putih berderet secara mendatar. Bewarna hijau zaitun dibawah sirip dorsal dan keemasan disisi badan. Abdomen nya pula bewarna putih, sirip kekuningan.

Spesis2 peacock bass diatas adalah yang terdapat di luar negara. Adakan spesis peacock bass yang terdapat di negara kita ini sama dengan spesis diatas. Faktor air dan habitat juga memainkan peranan penting menjadikan sesuatu spesis itu berlainan. Sebagai contoh peacock bass di malaysia yang tinggal dikawasan berlumut warnanya sangat kehitaman jika di bandingkan peacock bass yang tinggal di air yang bersih.

p/s:Jika terdapat kesalahan atau kekurangan dalam maklumat diatas maapkan teman ye. Atau kawan2 ade maklumat tambahan harap dapat dikongsi bersama.

Tuesday 23 August 2011

Peacock Bass

Haa..posting kali ini teman cuba perkenalkan kepada semua salah satu spesis ikan air tawar yang semakin mendapat tempat di Malaysia ini iaitu peacock bass. Mungkin ramai yang telah tahu tentang ikan ini,tetapi teman sekadar berkongsi maklumat dan mungkin boleh dijadikan perbincangan sesama kita.




PENGENALAN
Ikan Peacock bass berasal dari keluarga 'Cichlids' dan bukannya dari keluarga 'Bass'. Ikan ini terkenal dengan sifatnya yang sangat agresif dan mempunyai daya lawan yang tinggi. Di negara kita Malaysia, ikan ini boleh ditemui di tasik tasik, lombong tinggal, kolam tadahan banjir dan kawasan berair bersih lain. Pada awalnya ia mula ditemui di sekitar Perak, dan lama kelamaan telah merebak ke sekitar lembah kelang dan kini ia juga telah merebak ke tempat tempat lain sekitar semenanjung. Ikan ini telah dijadikan sebagai salah satu spesis 'gamefish' yang menjadi buruan para pemancing selain ikan pemangsa yang lain seperti toman, sebarau dan lain2. Pada asalnya ikan ini dibawa masuk untuk tujuan komersial tetapi telah terlepas atau dilepaskan dengan sengaja oleh segelintir pihak untuk dijadikan salah satu bentuk hiburan baru dalam arena memancing di Malaysia.

SIFAT
Ikan peacock bass ini merupakan ikan yang sangat kejam, bersifat pemangsa dan 'teritory'(menjaga kawasan) terutamanya dengan spesisnya sendiri. Ketika kecil, ia sangat sensitif dengan kualiti air dan pemakanan. Apabila telah mencapai panjang lebih 10 inci, ia mula menjadi ikan yang sangat agresif. Kitaran hidup iksn ini adalah sekitar 10 hingga 15 tahun dan boleh mencapai panjang hingga 36 inci. Ikan ini akan  menjadi lebih agresif apabila waktu mencari makan dan ketika mengawal anak.

PEMAKANAN
Diet utamanya adalah anak ikan, anak udang  dan lain-lain benda hidup didalam air atau pun permukaan air.

CIRI-CIRI
Ikan ini mempunyai bentuk badan yang unik dimana ia mempunya bentuk kepala yang berbonjol dan warna badan yang berwarna warni. Dibahagian badan, ia berwarna kuning kehijauan dan mempunyai tompokan hitam di bahagian badan dan ekor. Berwarna kemerahan pada bahagian sirip bawah badan dan kehitaman pada bahagian ekor dan sirip bahagian atas badan. Disamping itu, ia juga mudah dikenali kerana mempunyai mulut yang besar menghadap ke permukaan air serta sisik dibahagian badan yang halus. Bagi ikan peacock bass jantan yang telah cukup matang/dewasa, dibahagian kepalanya akan ditumbuhi bonggol manakala ikan peacock bass betina dewasa tidak terdapat bonggol di bahagian kepalanya.

PEMBIAKAN 
Dalam keadaan liar, ia boleh bertelur sebanyak 10,000 biji telur dalam sarangnya yang telah dibentukkan  seperti kawah bulat yang digali dalam kawasan tebing tasik yang berlumpur ketika musim hujan. Setelah menetas, anak ikan ini akan dijaga oleh induk sehinggalah ia berusia 4 minggu.

HABITAT ASAL 
Amerika Selatan, Guana, Venezuela, Peru, Brazil, Colombia dan sekitarnya.


p/s:kalau teman ada tersalah info atau kawan2 ada maklumat tambahan sila berkongsi dengan teman ye..

Monday 22 August 2011

A70 Taken Fishing Ruler..

Yeayyyyy..!!haha..kenapa teman bersorak gembira??Tiada apa2 yang menarik cuma barang yang teman beli di pusat beli belah Online terkenal iaitu Ebay.com dah selamat sampai ke tangan teman. Jadi apakah barang yang teman beli tu??Teman beli satu aksesori pancing iaitu pengukur ikan. Mungkin tak penting bagi sesetengah orang, tapi bagi teman pengukur ini agak penting kerana disitu kita boleh rekodkan saiz tangkapan kita dan menunjukkan bukti yang sahih saiz sebenar ikan itu. Jadi gambar dibawah ini teman beli jenama A70 Taken Bass Fishing Ruler.





Item spec:
Panjang 70cm
Lebar 8cm
Made in Korea

Rekabentuk dan corak ini yang telah membuat teman tertarik untuk membelinya dan selain itu pengukur ini juga kukuh kerana bahan yang digunakan sangat berkualiti. Jika terkena air pun ia tidak akan mudah rosak.


Selain itu grafik pada pengukur ini juga menarik seperti gambar dibawah ini. karakter ikan lebih menarik jika mendapat ikan yang lebih besar.





Starting point untuk pengukur ini dalam bentuk "L" bagi mengelakkan kesilapan semasa mengukur ikan.


Jadi, teman sudah tidak sabar untuk turun casting Peacock Bass semula untuk merekod saiz tangkapan teman.

Nota: Terdapat banyak lagi jenama pita pengukur yang dikeluarkan khas untuk mengukur ikan seperti Megabass, Evergreen, Berkley, Rapala dan lain2 lagi. Harga juga berbeza mengikut jenama.










Thursday 18 August 2011

Peacock Bass Hunter (PBH)




Posting kali ini teman akan menceritakan tentang sebuah lagi kumpulan yang teman sertai ketika teman baru belajar casting. Kumpulan ini dinamakan Peacock Bass Hunter atau lebih mudah dikenali dengan nama PBH. Kumpulan ini telah ditubuhkan sejak tahun 2006 lagi dimana ahli asal kumpulan ini hanya terdiri dari 3 orang sahaja iaitu saudara Atiq, Shahril dan TX. Kumpulan ini berpengkalan di Ipoh, Perak dan aktif dalam memburu ikan pemangsa yang bergelar Peacock Bass di sekitar lembah kinta. Namun begitu menjelang tahun 2007/2008 ahli PBH ini semakin bertambah ramai. Mungkin ada sebilangan nama yang masih saya ingat, tapi kalau teman salah harap dapat dibetulkan. Diantara nama nama yang teman ingat adalah Poy, Big Bait, Pierre Man, Parjo, Mars, Deen Garcia dan ramai lagi. Sebelum teman menyertai kumpulan GKC yang sebelum ini teman cerita pada posting lepas, teman terlebih dahulu menyertai kumpulan PBH ini pada awal2 tahun 2008 kalu tak silap teman. 

Teman juga mengenali ramai ahli ahli PBH ini melalui Forum yang teman selalu layari iaitu Malaysian Fishing.net. Kumpulan PBH ini juga ada membuka sebuah thread khas kumpulan PBH sama seperti kumpulan GKC. Pada mulanya teman menyertai kumpulan PBH ini adalah kerana minat yang sama iaitu casting, casting ikan peacock bass. Teman masih ingat lagi sewaktu teman menyertai kumpulan ini teman masih pakai spinning reel & rod. Waktu tu juga teman baru mengenali apa itu gewang dan gewang2 yang sesuai untuk menjerat peacock bass ini hasil tunjuk ajar yang diberikan oleh ahli2 PBH. Sejak dari itu teman ada juga menyertai trip2 yang dijalanakn oleh PBH ini di sekitar batu gajah. Dibawah ini teman akan masukkan antara gambar2 trip PBH yang teman sertai..

Gambar diatas ini adalah trip pertama teman dengan ahli2 PBH. Ikan peacock bass teman yang terbesar pada hari itu dengan berat 1.2kilo menggunakan minnow Abu Garcia. Disebelah teman tu ialah saudara Atiqul atau lebih disenangi dengan panggilan Atiq juga mendapat strike dari peacock bass pad masa yang sama.





4 keping gambar diatas ini pula adalah trip marathon PBH yang diadakan di sekitar Temoh. Trip maratahon ini bermula dari lombong Air Kuning (AK), dan seterusnya membawa ke Sg. Lesong. Selepas tengahari, trip ini diteruskan pula di lombong Kg. jawa dan lombong terakhir adalah lomboh tepi jalan Temoh.


Gambar diatas ini juga adalah trip PBH di sekitar Temoh. Berdiri dari kiri ialah Man Haro, Burnsteel, Teman, Poy, Atiq dan Pierre Man.


Sebenarnya banyak lagi trip2 teman dengan ahli2 PBH ni, nanti teman akan masukkan lebih banyak gambar dan cerita teman bersama PBH ini pada posting yang akan datang.








Wednesday 17 August 2011

Geng Kaki Casting (GKC)



Bagi yang mengenali diri teman mesti tahu dimane teman sering berforum. Teman hanya aktif di salah satu forum pancing terkenal di Malaysia iaitu Malaysian Fishing.net. Didalam thread perbincangan am terdapat satu topic yang dibuka khas untuk Geng Kaki Casting atau lebih mudah dipanggil dengan nama GKC. Kumpulan GKC ini telah ditubuhkan sejak 10 November 2008 lagi, namun begitu teman ni bukan lah ahli lama yang dah bertapak dalam GKC ini. Kalau tak silap teman, teman mula menyertai kelab GKC ini dari tahun 2009 dan sejak itu teman aktif berforum dalam thread GKC ni. Mula dapat mengenali dengan lebih rapat kawan2 yang juga gemar casting. Thread GKC ni juga tempat bertukar2 pendapat dan ilmu..sembang2 kosong pun boleh jugak..perkara wajib ahli GLC tu untuk memeriahkan thread GKC. Selain itu GKC ni juga akan mengadakan ghatering setiap tahun mengikut kesesuaian waktu ahli2 nya. Dibawah ini adalah antara ghatering GKC yang teman sempat join pada tahun 2009.


Diharap untuk ghatering tahun depan teman dapat join lagi. Tahun ni punya ghatering teman tak dapat nak join  disebabkan hal yang tak dapat dielakkan. Ape2 pun teman harap GKC ini terus maju.

Cuti Panjang..



Hehe..posting ini untuk bagitau pada sume pembaca aku tgh cuti panjang..bukan cuti panjang dari kerja,tapi dari aktiviti2 hanyir ni la..kerana orang rumah tengah sarat mengandung. Aku cuti bukan kerana percaya pada benda2 mengarut semua tu..tapi dek kerana nak menghormati permintaan Ibu & Bapa..takpe la,bukan lame sangat pun. Walaupun tangan dah mengigil untuk hayun semola joran hehe. Orang rumah pulak expected due bersalin pada awal bulan 11 2011 nnt..mase raye haji la gamaknye. Ape2 pun teman berdoa semoga kandungan orang rumah teman tu sihat walafiat hendaknye.

walau ape pun,teman akan post juga aktiviti2 hanyir teman dulu kala selepas ini..tungggguuuuuuuu..


Tuesday 16 August 2011

Salam Perkenalan



Assalamualaikum semua pembaca blog..teman ni baru nak buat blog.saje2 mengisi mase lapang katekan hehe.Ape2 pun teman cuba berkongsi tentang kehidupan teman ni dalam arena hanyir iaitu sebagai pemancing.Kalau nak diiuktkan teman ni dah lame memancing,sejak dari bangku sekolah rendah lagi.Mane taknye belajar dari arwah abah..orang kate mane tumpah kuah kalau tak ke nasik.macam tu le gamaknye aku..

Dulu selalu ikut arwah pergi memancing,turun menembak ikan sungai, menjaring dan menjala. Pendek kate semua aktiviti perikanan la kecuali tuba, karen dan bom ikan je yang aku takkan buat. Masuk sekolah menengah je semakin ligat aku dengan aktiviti hanyir ni..sampai arwah dulu yang mengajar aku mancing dah lali dengan aktiviti aku ni. Celik mate capai joran pegi mancing. Berbekalkan sebatang joran dan reel sekenhen yang dibeli dengan harga RM30 mase tu,abih seluruh pelusuk Bidor tu bawak pergi memancing.

Tapi bila dah masuk ke Universiti tu,aktiviti hanyir ni pun dah semakin berkurangan. Pergi pun jarang2, makin lame joran dan reel pun dimamah  usia dah terus hilang dari pandanganmate. Tak tahu mane peginya. Tapi semua tu tak lama, tahun akhir aku di Universiti aku kembali aktif dalam dunia hanyir ni, cuma tak seperti dulu yang lebih gemar menggunakan teknik bottom. Aku telah beralih arah ke dunia casting. Pada awal2 belajar casting cuma menggunkan spinning reel,mase tu tak kenal lagi baitcaster reel. Gewang pun beli yang murah2 dan mampu milik je. Iala untuk belajar je dulu kan..lame2 semakin advanced bila terdetik hati untuk beli reel baitcaster dan belajar menggunakannya. Bila dah pandai, orang kate mesti kena ubah cara..gewang pun dah start pakai yang branded2, harga RM40-50 ke atas punya. Taktau pun ape sebenarnya tujuan,mungkin untuk kepuasan. Sampaikan gewang yang dibeli banyak tak digunakan hehe.

Begitulah sedikit sebanyak perjalanan hidup aku dalam dunia hanyir ni, lepas ni aku akan cuba posting lebih banyak tentang perjalanan dunia hanyir aku dari dulu lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...